Monday, April 18, 2011

My Pidato Script

I think it was worth staying up till late night to finish up my script......my second script came out better than my first script......here it goes......
Menyedari hakikat kepentingan teknologi maklumat, maka bagi menggerakkan Malaysia menongkah wawasan negara. mantan Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohammad telah mengumumkan Projek Koridor Raya Multimedia (MSC) dalam persidangan Multimedia Asia pada 1 Ogos 1996.
Salam perpaduan bertatahkan intan kemesraan saya ucapkan kepada Tuan Peneraju
Majlis, barisan panel juri nan bijak bestari,penjaga masa yang setia dengan detik
waktunya, dan seterusnya kulasentana dewan yang ceria di hati tinggi pekerti.
Pada petang yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk ‘Teknologi Maklumat Memupuk Budaya Ilmu’. Pembudayaan adalah sesuatu yang berkaitan dengan amalan atau rutin dalam sesebuah masyarakat. Contohnya seperti budaya membaca yang dipupuk dari kecil akan menjadikan seseorang itu gemar membaca dan akhirnya menjadikannya sebagai satu amalan harian. Begitu juga dengan pembudayaan ilmu dalam era globalisasi sekarang yang memerlukan pengetahuan dan amalan berterusan agar tidak disifatkan sebagai katak di bawah tempurung.Sememangnya teknologi maklumat dapat menggalakkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.
Kulasentana dewan yang saya muliakan,
Indikator saya yang pertama adalah teknologi maklumat sebagai pengakses maklumat yang efisien.Masa itu ibarat emas.Pada zaman di mana masa merupakan segala-galanya kita sentiasa mencari insiatif yang paling pantas bagi menyiapkan sesuatu kerja.Begitu juga dengan mencari ilmu pengetahuan.Dalam hal ini,teknologi maklumat berjaya membawa pembaharuan dalam kehidupan manusia dengan menjimatkan masa yang diperlukan bagi mengakses sesuatu maklumat.Misalnya,hanya beberapa saat yang diambil oleh enjin carian untuk memaparkan beribu-ribu atau berjuta-juta maklumat berkaitan kata kunci yang ditaip jika dibandingkan dengan masa yang entah berapa lama yang akan diambil bagi mendapatkan jumlah maklumat yang sama daripada buku-buku.Apabila terdapat kemudahan seperti ini, maka dengan sendirinya seseorang akan berminat mencari maklumat kerana semua yang mereka mahu boleh didapati dengan hanya satu klik sahaja.Secara tidak langsung,mereka dapat mempratikkan budaya membaca serta memupuk budaya ilmu di dalam diri mereka.
Kulawangsa dewan penggerak wawasan,
Indikator saya yang kedua,sudah terang lagi bersuluh teknologi maklumat berfungsi sebagai alat pembelajaran dan pengajaran yang kondusif.Kajian menunjukkan bahawa behaviourisme manusia meningkat apabila maklumat dalam bentuk grafik digunakan berbanding maklumat yang terdiri daripada tulisan secara 100%.Ini adalah kerana grafik dapat merangsang minda dengan lebih efektif.Atas sebab inilah Kementerian Pelajaran Malaysia telah membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi menghasilkan CD-ROM untuk digunakan pada waktu pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.CD-ROM ini ternyata lebih berkesan kerana murid-murid memahami sesuatu topik yang diajar dengan lebih mendalam.CD-ROM berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan serta membantu guru-guru mengendalikan proses pengajaran mereka dengan lebih menarik.Kesannya, pelajar lebih bersemangat untuk belajar dan sikap ini dipercayai dapat meningkatkan tahap intelek mereka dan sedar atau tidak budaya ilmu dapat dipupuk.
Kulasentana dewan yang saya hormati,
Indikator saya yang ketiga adalah teknologi maklumat sebagai wahana mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan tinggi.Pembelajaran merupakan proses sepanjang hayat.Ungkapan ini bukanlah sesuatu yang mustahil dengan adanya teknologi maklumat sebagai medan pengajian masa kini.Terdapat kes di mana seorang pesara guru yang berusia 76 tahun yang telah menyambung pengajiannya semata-mata kerana beliau hendak menambah ilmu yang sedia ada.Beliau bukan sekadar menggunakan Internet untuk berkongsi maklumat dan penyelidikan tetapi juga mengambil kursus tanpa perlu melangkah kaki ke dalam bilik kuliah.Seiring dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020,semestinya rakyat Malaysia yang patriotik harus memajukan diri mereka sebagai golongan inteligensia tanpa mengira batasan umur atau generasi.Bak kata pepatah,tua-tua kelapa makin tua makin pekat santannya,tua-tua manusia makin tua makin geliga otaknya.Dengan adanya teknologi maklumat sebagai pemangkin peningkatan maklumat,pasti kita tidak akan mempunyai sebarang kekangan bagi memajukan nusa kita yang tercinta ini.
Kulawarga dewan peneraju warisan bangsa,
Indikator saya yang keempat ialah teknologi maklumat sebagai pelangkau batasan kemahiran manusia.Pada tahun 1825,Louis Braille telah mencipta tulisan Braille bagi membantu golongan cacat penglihatan membaca dan menulis.Tetapi dengan adanya ‘speech syntesizer’ atau lafal buatan iaitu sebuah program text-to-speech ,orang dengan gangguan visual dapat mendengar karya tulis di komputer.Alat ini boleh digunakan bersama perisian atau perkakasan Ini seterusnya membolehkan golongan istimewa yang cerdik pandai menggunakan kepakaran yang ada bagi memajukan diri mereka.Misalnya ahli fizik teori yang terkemuka di dunia, Stephen Hawking iaitu Profesor Lucas untuk matematik di Universiti Cambridge menggunakan teknologi ini. Walaupun mengalami ketakupayaan yang kekal dan kebelakangan ini, kelumpuhan dari leher ke bawah yang diakibatkan oleh penyakit neuron motor, Hawking telah lama mencapai kerjaya yang menakjubkan dan kini merupakan salah seorang ahli akademik yang termasyhur. Ini membuktikan bahawa teknologi maklumat dapat meningkatakan kualiti kehidupan manusia dengan membantu mereka menggunakan ilmu yang sedia ada.
Rumusannya, teknologi maklumat sememangnya telah membuka dimensi yang baru dalam bidang ilmu bak air laut yang tidak pernah kering.Dalam dunia yang kompetitif ini,semua individu berlumba-lumba bagi melengkapkan diri mereka dengan ilmu.Teknologi maklumat telah memainkan peranan yang amat besar dalam hal ini.Teknologi maklumat ataupun IT merupakan wahana yang utama dalam menyumbang ilmu kepada penduduk sejagat.Diharapkan semua pihak dapat memanfaatkan anugerah yang tidak ternilai ini dengan sebaik-baiknya.
Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.Sebelum saya mengundurkan diri izinkan saya melafazkan serangkap pantun yang berbunyi:
Sebidang kain alas berjamu,
Merah bata kainnya kasa,
Orang lain menambah ilmu,
Ilmu banyak di alam maya.

Sekian, terima kasih.
*thanks to that special someone that kept me calm when i got frustrated :)

No comments:

Post a Comment